Halaman

NOTA: Blog TOLOKMINDA di wordpress.com telah disita SKMM atas sebab yang hanya mereka tahu!
http://www.skmm.gov.my/antiphishing/?u=http://tolokminda.wordpress.com

Isnin, 28 Februari 2011

Apa yang berlaku apabila kita mati

Kali ini saya ingin berkongsi kefahaman saya mengenai kematian selepas memikirkannya melalui petunjuk Al-Quran. Sebelum ini saya pernah menulis tentang ritual kematian dan kubur. Ia boleh dibaca di sini. Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku apabila kita mati? Adakah akan berlaku perkara-perkara sepertimana yang digambarkan oleh para ustaz misalnya?

Benarkah roh kita akan dikembalikan ke jasad sebaik saja orang terakhir meninggalkan kubur kita sejauh 7 langkah? Adakah kita akan didatangi malaikat yang bernama Munkar dan Nankir? Adakah kubur kita akan berubah menjadi ruang yang selesa jika kita seorang yang baik? Atau adakah kita akan dipukul dan kubur kita akan disempitkan jika kita seorang yang jahat?

Selepas memikirkan tentang mati menurut petunjuk yang ada di dalam Al-Quran, saya berasa yakin dan tenteram mengenainya. Jika para pembaca budiman ingin tahu apakah yang berlaku apabila kita mati, saya berpendapat caranya mudah saja. Bayangkan tidur. Pada pendapat saya itulah sebenarnya yang akan kita lalui. Blank. Shut off. Total black out. Bagaimana keadaannya apabila kita tidur atau malah sewaktu kita belum lahir, begitulah juga keadaannya apabila kita mati. Tidak ada apa-apa!

Petunjuk bahawa keadaan mati adalah sama dengan keadaan di waktu tidur boleh difahami dari ayat berikut.

39:42 Tuhan mengambil jiwa-jiwa apabila tiba masa kematian mereka dan juga mereka yang belum mati semasa mereka tidur. Justeru Dia menahan mereka yang telah ditetapkan kematiannya dan mengembalikan yang lain sehingga tiba waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda kepada mereka yang memikirkannya.

Saya berpendapat tidak ada bezanya keadaan jiwa ketika diambil Tuhan apabila seseorang itu mati atau tidur. Perbezaan hanya berlaku di peringkat badan. Badan fizikal mereka yang mati akan berhenti berfungsi sedangkan badan fizikal mereka yang tidur terus berfungsi seperti biasa walaupun buat sementara waktu jiwa mereka tiada di situ. Maka apabila jiwa mereka yang tidur itu dikembalikan, mereka akan mendapat kembali kesedaran dan kesinambungan hidup diteruskan.

Ini bermakna kesedaran memanifestasikan kehidupan. Sewaktu tidur kita tidak memiliki kesedaran. Dan melalui petunjuk 39:42, saya percaya keadaan yang sama berlaku apabila kita mati. Dalam kedua-dua keadaan, dunia tiga dimensi tidak wujud. Dengan kata lain, dimensi ruang-waktu tidak memberi sebarang impresi kepada mereka. Jiwa yang sedang tidur atau mati tidak tahu samada dia telah melaluinya selama 10 minit atau 10 jam. Malah kalau 10 juta tahun atau 10 billion tahun pun tempohnya, ia tetap tidak memberi sebarang makna.

Tuhan ada menggambarkan keadaan ini melalui reaksi sekumpulan lelaki yang dibangkitkan semula oleh Tuhan selepas tidur di dalam sebuah gua selama beratus tahun.

18:19 Begitulah, Kami bangkitkan mereka supaya mereka tertanya-tanya di antara satu sama lain. Kata seorang dari mereka: Berapa lama kita telah berada di sini? Mereka berkata: Kita mungkin telah berada di sini selama sehari atau kurang dari sehari. Berkata: Pemeliharamu lebih tahu berapa lama kamu telah berada di sini. Sekarang suruhlah seorang dari kamu dengan syiling yang kamu miliki ke bandar, supaya dia mendapatkan makanan yang elok dan membawa bekalan untuk kamu. Dan suruh dia berhati-hati dan jangan beritahu sesiapa tentang kamu.

Pendek kata, kesedaran memerlukan jiwa digabungkan dengan badan fizikalnya. Dan dengan adanya kesedaran barulah dimensi ruang-waktu memberi impresi dan nilai yang kita panggil realiti.

Apabila kita faham konsep tidur/mati yang sebenar, maka kita akan faham hakikat kehidupan dan kematian dengan mudah. Dalam perspektif setiap jiwa manusia yang Tuhan beri peluang hidup di dunia ini secara silih berganti sejak generasi pertama sehinggalah ke generasi terakhir – sebelum tibanya kiamat – satu-satunya pengalaman hidup yang akan dikenali dan dilalui oleh seseorang hanyalah hidupnya yang bermula dari saat dilahirkan sehinggalah saat dia dimatikan. Itulah realiti baginya. Itulah tempoh kewujudan yang mempunyai makna kepadanya.

Selain tempoh berkenaan setiap jiwa, tidak mempunyai kesedaran terhadap sebarang bentuk kehidupan atau kewujudan lain sehinggalah apabila mereka dibangkitkan kembali di akhirat nanti – di mana pada ketika itu jiwa dikembalikan semula kepada badan fizikalnya. Sebab itulah menurut Tuhan, kita akan mendengar dialog seperti ini dalam kesibukan kebangkitan semula di akhirat nanti.

36:52 Celakalah ke atas kami! Siapakah yang telah membangkitkan kami dari tempat tidur? Inilah yang telah dijanjikan oleh Yang Pemurah dan para rasul telah berkata benar.

Saya bina satu analogi melalui satu watak yang saya namakan Abdullah.

Jika Abdullah lahir di kalangan generasi pertama manusia dan dia mati pada umur 50 tahun, apabila dia dibangkitkan semula oleh Tuhan selepas kiamat nanti, dia sebenarnya tidak akan berasa yang dia telah menunggu lebih lama berbanding dengan orang lain yang lebih kemudian – misalnya berbanding dengan orang yang lahir 100 tahun sebelum kiamat. Walaupun pada skala masa yang diukur oleh mereka yang sedang melalui realiti kehidupan di dunia Abdullah mungkin telah mati selama sejuta tahun, tapi kepada jiwa Abdullah realiti itu tidak wujud.

Malahan jika pada skala masa mereka yang hidup kiamat berlaku 10 billion tahun selepas Abdullah mati sekalipun, apabila dia dibangkitkan semula bersama-sama seluruh manusia lain di akhirat, Abdullah sebenarnya tetap akan merasakan bahawa dia baru saja dibangkitkan dari tidur sebagaimana orang lain – hatta jika dibandingkan dengan mereka yang baru mati akibat trauma kiamat itu sendiri.

Begitu juga sebaliknya jika Abdullah adalah orang yang lahir 100 tahun sebelum kiamat. Dia juga tidak akan berasa telah menunggu lama sebelum dilahirkan walaupun jarak masa di antara dia dengan anak-anak generasi pertama manusia adalah 10 billion tahun. Ini kerana di sepanjang tempoh Abdullah belum dilahirkan, Tuhan tidak memberinya sebarang kesedaran – iaitu keadaan yang sama apabila kita tidur ataupun mati.

Sebagai kesimpulan, sekarang kita nampak bahawa sesungguhnya setiap manusia tidak mempunyai kesedaran di kedua-dua sisi kehidupan mereka di dunia samada sebelumnya atau sebaik saja mati. Kepada setiap orang yang tiba-tiba merasai hidup pasti akan merasai mati dan apabila tiba-tiba sedar kembali mereka sudah pun berada di akhirat. Oleh itu jarak masa di antara setiap orang dengan pengadilan Tuhan sebenarnya amatlah dekat walaupun pada perspektif mereka yang telah hidup jauh lebih awal dari kita. Dengan ertikata lain, kehidupan dunia dan kehidupan akhirat sebenarnya hanya dipisahkan oleh kematian.